Mengatasi anak mengamuk bukan perkara mudah. Tajuk kali ini adalah
bagaimana kita mengawal anak yang mengamuk. Tindakan serta cara kita
mengendalikan anak sangat penting dalam pembentukkannya. Temper tantrum
atau sindrom mengamuk sering berlaku di kalangan kanak-kanak kerana ini
juga salah satu cara mereka berkomunikasi.
Anak-anak sebesar ini masih rendah tatabahasa dan bilangan perkataan
yang diketahuinya. Cara mudah dan cepat untuk dia memberitahu sesuatu
adalah dengan menangis dan mengamuk.
Bukan mudah mengendalikan anak yang mengamuk jika kita tidak tahu
cara yang paling baik bagi menanganinya. Ramai juga di kalangan ibubapa
yang mengambil jalan mudah dengan memukul, menjerit dan memarahi anak
dengan harapan anak akan berhenti mengamuk. Namun cara begitu lebih
banyak memberikan impak negatif kepada anak-anak.
Ada beberapa cara yang boleh kita lakukan jika anak mengamuk. Antaranya:
- Hanya ibu bapa yang mengetahui bila anak akan mengamuk. Kenali tanda-tandanya dan anda akan lebih bersedia jika anak anda mula mengamuk.
- Bertenang. Jika anak mula mengamuk, ibu bapa atau orang yang
berada berdekatan dengannya perlu menunjukkan sikap bertenang. Jangan
mudah melenting dan marah.
- Cuba memujuk. Usaha dahulu memujuk dengan cara yang baik.
Pegang atau dukung dengan lembut dan mesra. Itu petanda anda sedia untuk
bekerjasama dan mendengar segala masalah yang sedang anak hadapi.
- Alihkan perhatiannya. Jika anda sudah nampak tanda-tanda yang
dia mahukan sesuatu dan anda tidak dapat memenuhi hajatnya itu dan akan
mencetuskan kemarahannya, cepat-cepat alihkan perhatiannya.
- Beri pilihan. Jika anak mula mengamuk, berikan dia pilihan,
samada dia mahu bersikap baik dan tidak dimarahi anda. Katakan kepadanya
jika dia bersikap baik, anda akan menjanjikan sesuatu seperti menonton
televisyen atau membaca bersama.
- Biarkan. Jika pujukan tidak menjadi dan anak anda terus
menghentakkan kaki atau berguling di atas lantai, biarkan dia. Namun
pastikan keadaan sekelilingnya selamat dari barang-barang yang
membahayakan.
- Nasihat. Anak yang mengamuk tidak akan mengamuk sepanjang
hari. Dia pasti penat juga akhirnya. Pada waktu begini, anda belailah
dia dan katakan kepadanya bahawa apa yang dia lakukan sebentar tadi
adalah salah dan dia akan lebih disayangi jika dia bersikap baik dan
mendengar kata.
- Bersifat tegas. Sesekali bertegas dengan anak. Jika
dia mengamuk, katakan bahawa anda akan potong waktu bermainnya. Biar
dia belajar bagaimana perasaan marah dan kecewa. Terangkan dengan jelas
mengapa tindakan itu anda ambil.
Bolehkah anak kecil memahami apa yang dikatakan oleh kita?
Sudah tentu! Walaupun mereka kecil, mereka tahu ketika mana ibu
bapanya marah, sayang, gembira, benci mahupun kecewa. Selalulah
berkomunikasi dengan anak dan berbual dengan mereka tentang apa yang
mereka dan anda suka. Nasihat yang berpanjangan akan mengurangkan temper
tantrumnya.
Selamat mencuba!